Saturday, October 16, 2010

Waktu-waktu mustajab Berdoa

Selain usaha dan tawakal, doa ialah satu-satunya cara untuk mencapai sesuatu hajat. Ada waktu-waktu tertentu
paling mustajab untuk berdoa kepada ALLAH s. w. t. Di antaranya ialah:-

- Semasa Lailatul-Qadar.
- Ketika hujan turun.
- Ketika memulakan dan setelah selesai solat.
- Ketika menghadapi barisan musuh di medan peperangan.
- Di tengah malam.
- Di antara azan dan iqamah.
- Ketika sujud dalam solat.
- Ketika iktidal akhir dalam solat.
- Ketika khatam (tamat) membawa 30 Juz al-Quran.
- Sepanjang malam, paling utama sepertiga awal dan sepertiga akhir (waktu sahur).
- Malam Jumaat dan sepanjang hari Jumaat kerana mengharapkan bersua dengan saat ijabah (diperkenankan
doa) yang terletak di antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat.
- Di antara waktu zuhur dan asar dan antara waktu asar dan maghrib.

Wasitoh yang benar

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA masih menumpang teduhan perbahasan kitab Mafahim Yajib an Tusohhah karya Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki tentang kedudukan wasitoh atau perantaraan dalam hubungan kita dengan Allah SWT.

Kali ini kita melihat pula wasitoh yang benar dan dibolehkan dalam Islam. Ini perlu diberi perhatian dengan sebenar-benarnya kerana ramai umat Islam yang tidak memahaminya dengan baik.

Pertamanya, perhatikanlah bahawa ketika Allah SWT menyuruh umat Islam menghadap ke Kaabah ketika solat, maka mereka pun menghadap ke arah Kaabah ketika beribadah dan menjadikan kaabah sebagai kiblat.

Ini bukanlah penyembahan kepada kaabah. Begitu juga mencium Hajar al-aswad. Perbuatan tersebut dilakukan semata-mata ubudiah (bentuk penghambaan) kepada Allah SWT dan mengikut perbuatan Nabi Muhammad SAW.

Seandainya ada umat Islam yang berniat menyembah Kaabah dan Hajar al-aswad, sudah pasti mereka menjadi orang yang mensyirikkan Allah seperti para penyembah berhala.

Tidak dapat tidak, wasitoh itu perlu dalam ibadat dan ia tidak termasuk dalam perbuatan syirik. Tidaklah setiap orang yang menggunakan wasitoh di antara dia dan Allah menjadi musyrik.

Jika setiap orang yang menggunakan wasitoh dianggap musyrik, pasti seluruh manusia akan menjadi musyrik, kerana segala urusan umat Islam itu terbina di atas jalan wasitoh.

Bukankah Nabi Muhammad SAW menerima al-Quran melalui wasitoh (perantaraan) Jibril a.s? Maka, Jibril menjadi wasitoh bagi Nabi Muhammad SAW dan baginda pula menjadi wasitoh terbesar bagi para sahabatnya r.a.

Para sahabat sering menemui Rasulullah SAW ketika menghadapi pelbagai kesulitan untuk mengadu keadaan mereka.

Mereka juga sering bertawassul dengan baginda SAW kepada Allah dan memohon doa daripadanya.

Namun, Rasulullah SAW tidak pernah berkata kepada mereka: "Kalian telah melakukan perbuatan syirik dan menjadi kafir, kerana tidak boleh seorang itu mengadu kepadaku dan tidak boleh memohon doa daripadaku. Kamu sendiri yang harus pergi menghadap Allah, berdoa dan memohon kepadaNya secara langsung akan segala keperluanmu, kerana sesungguhnya Allah SWT lebih dekat kepadamu daripadaku! Tidak sama sekali!"

Rasulullah tidak pernah berkata begitu. Malahan, baginda menunaikan permintaan mereka dan memohon kepada Allah dalam keadaan para sahabat r.a mengetahui bahawa pemberi (al-Mu'ti) sebenarnya adalah Allah SWT, pencegah daripada memberi (al-Maani'), yang melapangkan rezeki (al-Baasit) dan pemberi rezeki (al-Razzaq) hanyalah Allah SWT.

Mereka juga yakin, bahawa Rasulullah memberi hanyalah dengan izin dan kurniaan Allah. Bahkan, Rasulullah sendiri pernah menegaskan: "Aku hanyalah pembahagi (yang mengagih-agihkan), sedangkan Allahlah yang mengurniakannya."

Maka dengan ini jelaslah, bahawa adalah harus mana-mana manusia biasa itu disifatkan atau dikatakan bahawa 'Dia yang telah melepaskan kesusahan', 'Dia yang telah menunaikan hajat' dan lain-lainnya.

Maksudnya, dia menjadi perantara dalam menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Apatah lagi penghulu yang mulia, nabi yang paling utama, penghulu dua alam kejadian dan penghulu bagi golongan jin dan manusia.

Sumber and kredit kepada:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0928&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive