Monday, May 9, 2011

Sedikit Renungan Mengenai Khairat Kematian


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada para jemaah sekalian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan Allah S.W.T. melorongkan jalan yang mudah untuk kita terus bertaqwa. Hanya dengan bekalan taqwalah, kita akan beroleh kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Setiap manusia yang pernah hidup di dunia ini pasti akan menemui kematian. Firman Allah dalam surah Yunus ayat 49:

"Bagi setiap umat ada tempoh (ajal) yang ditetapkan; maka apabila tiba tempohnya, mereka tidak dapat melambatkan sesaatpun, dan juga tidak dapat mereka menyegerakan".

Bagi mereka telah meninggal dunia, berakhirlah semua urusan mereka di dunia ini sebaik sahaja mereka menghembuskan nafas yang terakhir. Namun bagi kita yang masih hidup, berkewajipan untuk menguruskan jenazah mereka, iaitu dengan memandikannya, mengkafan, menyembahyangkan dan seterusnya mengebumikan.

Namun, majoriti di kalangan ahli kariah mengambil sikap tidak ambil tahu, tidak peduli, atau tidak merasa terpanggil untuk membantu menguruskan jenazah dalam kariah mereka. Mereka menganggap tugas menguruskan jenazah adalah tugas dan tanggungjawab imam, bilal dan siak melaksanakan tuntutan fardhu kifayah dan mereka fikir mereka tidak perlu melibatkan diri dalam perkara tersebut.

Sebenarnya memang begitulah realitinya. Tidak semua orang mampu, sanggtup atau mempunyai pengetahuan atau mungkin tidak berani untuk menguruskan jenazah. Ada juga yang takut melihat jenazah. Bila berlaku kematian, ramai ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat-handai dating menziarahi jenazah. Di kalangan mereka, ada yang membaca surah yasin dan bertahlil. Tetapi ramai yang hanya duduk dan menunggu, sambil berbual-bual, tetapi alangkah baiknya kalau kita sama-sama membaca Al-Fatihah, membaca Al-Quran dan lain-lain lagi ataupun sama-sama membantu menguruskan jenazah, dari tugas memandi, mengkafan, menyembahyang, menggali lubang kubur serta lain-lain tugas yang berkaitan.

Hadith daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tidak seorang lelaki muslim yang mati yang disembahyangkan oleh empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah melainkan Allah Ta'ala memberi syafaat kepadanya."

(Riwayat Muslim)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Setiap orang daripada kita hendaklah melibatkan diri dalam melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah ini, khususnya dalam pengurusan jenazah dengan menyertai badan khairat kematian yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa masjid.

Antara manfaat yang akan diperolehi apabila kita menubuhkan tabung khairat kematian adalah:

Pertama :Apabila tabung khairat kematian diwujudkan, kita dapat mengamalkan sikap ta'awun atau tolong-menolong sesama kita. Apabila seseorang ahli kariah meninggal dunia, semua ahli-ahli yang lain sama-sama menanggung perbelanjaan menguruskan jenazahnya. Amalan ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Maidah ayat 2:

"Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan melampaui batas; dan bertaqwalah kepada Allah".

Kedua :Inilah yang paling penting. Dengan memberikan sumbangan kepada tabung khairat kematian, sekaligus kita turut terlibat dan menyumbang dalam menguruskan jenazah pada setiap kali berlaku kematian di kalangan ahli-ahli. Bila wang tabung khairat digunakan untuk membeli kain kafan, bermakna mereka yang menjadi ahli badan khairat sama-sama membekalkan kain kafan untuk jenazah. Bila wang tabung khairat digunakan untuk urusan membayar saguhati kepada petugas yang memandikan jenazah, bermakna seluruh ahli badan khairat kematian seolah-olah sama-sama memandikan jenazah. Bila wang tabung khairat digunakan untuk urusan menggali kubur, bermakna seluruh ahli badan khairat kematian seolah-olah sama-sama menggali kubur walaupun kita tidak memegang cangkul. Dengan lain perkataan, setiap ahli sama-sama melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah menguruskan jenazah.

Ketiga :Apabila kita mewujudkan tabung khairat kematian, kita berpeluang melakukan amal jariah atau sedekah jariah. Jariah bermaksud mengalir. Apakah yang mengalir? Yang mengalir itu ialah pahala, sama ada mengalir untuk beberapa ketika atau pahala akan terus mengalir berpanjangan untuk tempoh yang lama. Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim:

"Apabila mati seorang manusia maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (sedekah yang berkekalan), ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan baginya".

(Riwayat Ahmad dan Muslim)

Keempat :Dengan menyertai badan khairat kematian, akan terlepaslah ahli berkenaan daripada berkemungkinan menanggung hutang apabila berlaku kematian. Ditakdirkan kaum keluarga si mati tidak mempunyai wang simpanan pada hari kematian, maka kaum keluarga terpaksa berhutang harga kain kafan, terpaksa menangguh bayaran saguhati petugas memandikan jenazah dan terpaksa berhutang untuk membayar upah menggali kubur. Kalau semasa hidupnya, orang yang mati itu sangat-sangat mengambil berat tidak mahu terlibat dengan hutang, amatlah malang pada saat kematiannya, ahli keluarganya terpaksa berhutang untuk menguruskan jenazahnya sendiri.

Dengan menjadi ahli badan khairat, kemungkinan keterpaksaan untuk menanggung hutang seperti ini tidak akan berlaku kerana belnja pengurusan jenazah akan ditampung dari tabung khairat. Para jemaah tentu lebih maklum apa akan berlaku kepada roh si mati jika hutangnya tidak selesai. Menurut hadith daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Roh (orang mati) yang beriman tergantung (di awing-awang) dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutangnya itu dilangsaikan (oleh ahli keluarganya atau orang lain)".

(Riwayat Ahmad dan At-Tarmizi)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Seandainya seseorang ahli badan khairat kematian membayar yuran untuk tempoh beberapa tahun kehadapan, takdirnya dia meninggal dunia lebih awal dari itu, bermakna masih ada baki wang yurannya dalam tabung tersebut yang sepatutnya tidak perlu dibayar. Dalam kes seperti ini, biasanya kaum keluarga ahli yang telah meninggal dunia tidak akan menuntut baki wang yuran tersebut supaya dapat dikembalikan. Wang yuran tersebut terus berada dalam tabung khairat dan apabila wang itu dikeluarkan setiap kali berlaku kematian, maka ahli berkenaan mudah-mudahan akan terus menerima pahala sedekah jariah, walaupun dia sudah meninggal dunia.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,

Justeru, marilah sama-sama kita menyumbang kepada tabung khairat kematian sekiranya telah diwujudkan. Lebih awal kita menjadi ahli, lebih banyaklah yuran kita sumbangkan ke dalam tabung tersebut. Apabila bantuan dikeluarkan dari tabung khairat untuk menguruskan jenazah, secara langsung kita juga yang telah menjadi ahli dan membayar yuran khairat, akan sama-sama turut serta terlibat dalam pengurusan jenazah, sebagai satu cara menyempurnakan kewajipan fardhu kifayah. Ingatlah firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:

"Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan melampaui batas; dan bertaqwalah kepada Allah".

Semoga semua amal ibadah kita diredhai dan diberi ganjaran pahala oleh Allah S.W.T.

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada, maka Allah tetap akan membawa kamu sekalian (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu".

(Surah Al-Baqarah: 148)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 4 Februari 2011

p/s:
Sedikit input buat pengurusan khairat kematian ntuk dijadikan iktibar.
Topic: Khairat Kematian (facebook)
http://66.220.149.29/topic.php?uid=160101044017008&topic=213

No comments:

Post a Comment